Time-lapse adalah suatu teknik rekod video yang menarik di mana ianya merekod situasi keadaan atau objek dalam keadaan perlahan dan mengubahnya menjadi video yang memainkan semula dengan kelajuan yang tinggi. Foto yang dirakam selama beberapa jam digabungkan ke dalam video dengan hanya beberapa minit waktu dimainkan, oleh yang demikian ianya mencipta efek time-lapse.

MEMAHAMI ASAS TIME-LAPSE

Kita mulakan dengan memahami asas di dalam video time-lapse ini. Video time-lapse adalah gabungan satu siri foto, yang biasanya terdiri daripada 24-30 bingkai sesaat (fps). Rakaman video time-lapse berdurasi 10 saat pada 30 fps, bermakna ia terdiri daripada 300 keping foto (bingkai).

Untuk membuat efek time-lapse, anda pada dasarnya mengurangkan interval untuk setiap rakaman dan menggabungkannya di dalam satu video. Video berdurasi 10 saat dengan 30fps dan dirakam pada interval 1 foto per minit, akan mengambil masa rakaman sebenar lebih kurang dalam 5 jam.

PERALATAN ASAS YANG DIPERLUKAN

Kamera tidak kira DSLR mahupun telefon pintar boleh digunakan dalam merakam video time-lapse ini. Ianya boleh dirakam dengan mod auto, namun untuk video yang lebih menarik selalunya dirakam dalam fungsi mod manual.

Peralatan seterusnya adalah tripod yang stabil dan kukuh. Dalam merakam video time-lapse pasti ada satu subjek yang statik. Oleh itu, penggunaan tripod penting dalam memastikan subjek tersebut tidak bergerak di antara bingkai (frame) rakaman.

Untuk rakaman menggunakan kamera DSLR, anda memerlukan Intervalometer terutama bagi yang tiada mod rakaman time-lapse di dalam kamera.  Intervalometer digunakan untuk menetapkan DSLR anda untuk membuat satu setting exposure pada tetapan interval yang anda pilih seperti setiap 1 saat, atau 5 saat, atau apa sahaja masa interval yang anda pilih. 

 

SUBJEK TERBAIK UNTUK TIME-LAPSE & TETAPAN INTERVAL

Interval 1 saat : pergerakan lalu-lintas dan awan bergerak laju

Interval 1-3 saat : matahari naik (sunrise), matahari terbenam (sunset), awan bergerak perlahan, orang ramai (crowds), subjek yang dirakam menggunakan lensa telefoto (telefoto membesarkan apa-apa pergerakan dan jadi anda tidak perlu merakam dengan interval yang panjang)

Interval 15 – 30++ saat : pergerakan bayang-bayang, matahari melintasi langit (tiada awan – lensa bukaan lebar), Bintang (15 – 60 saat), Projek pembinaan (5min – 15min)

Interval yang lebih pendek antara setiap foto memberikan anda hasil video yang lebih lancar. Ia biasanya digunakan untuk merakam sesuatu subjek dengan keadaan perubahan yang lebih cepat, contohnya seperti leburan ais, pergerakan awan atau jalanraya bandar yang sibuk.

Apakah tetapan paling baik? Senarai di atas adalah asas tetapan interval yang kebiasaannya dirakam dalam video time-lapse. Tetapan paling baik adalah anda mencubanya sendiri dan melihat hasil daripada video yang telah anda rakam. Tidak salah untuk berekperimen sendiri dalam menentukan hasil kreatif video anda.

 

TETAPAN KAMERA

Tetapkan rakaman foto anda di dalam bentuk JPEG resolusi tinggi atau RAW. Pastikan juga anda mempunyai ruang data yang mencukupi di dalam kad memori.

Tetapkan mod rakaman manual. Ini adalah kerana untuk mengelakkan kamera cuba menyesuaikan diri apabila subjek rakaman secara tidak sengaja terlebih gelap atau terlebih cerah. Seeloknya tetapan white balance juga adalah manual bukan auto, tetapan yang dipilih berdasarkan situasi keadaan rakaman untuk memastikan keseimbangan perubahan cahaya.

Selain itu, dengan mod manual anda boleh memastikan fokus subjek anda tidak lari. Pasti anda tidak mahu ianya terjadi dalam rakaman video time-lapse tersebut, apatah lagi kalau situasi yang dirakam sukar untuk diulangi semula.

PERISIAN SUNTINGAN VIDEO

Sebaik sahaja selesai rakaman, inilah masa untuk menggabungkan foto tersebut menjadi sebuah video. Terdapat perisian yang berbayar dan juga percuma.

Berbayar – After Effects, Premiere Pro, Quicktime Pro, LRTimelapse

Percuma – Photolapse, VideoMach, VirtualDub

Ingin melihat contoh rakaman video time-lapse? Anda boleh lihat artikel kami yang terdahulu seperti :

9 VIDEO TIMELAPSE HEBAT PATUT ANDA LIHAT

TANAH TUMPAH DARAHKU – TIMELAPSE MALAYSIA PALING CANTIK

VIDEO TIMELAPSE AWAN TERBAIK OLEH SKYGLOWPROJECT

Selamat berekperimen dengan video time-lapse.