Bicara bakat baru kali ini kami tampilkan seorang jurufoto lifestyle muda bernama Rahim Isam. Jom kenali beliau dengan lebih dekat lagi melalui temubual di bawah.

Ceritakan sedikit mengenai diri anda?

Nama saya Rahim Isam. Berumur 26 tahun (2017) dan berasal dari Kuala Lumpur. Berlatarbelakangkan pendidikan Kejuruteraan Mekanikal. Fotografi merupakan karier utama saya.

Bila dan bagaimana anda bermula dengan fotografi?

Saya agak lewat meminati fotografi, iaitu ketika saya berada di tahun akhir diploma (2012), minat bermula dari rakan baik di tempat belajar. Sebelum saya menjadi jurugambar sepenuh masa, saya bekerja sebagai pereka grafik selama 2 tahun. Memandangkan saya bukan berlatarbelakangkan pendidikan grafik dan fotografi, saya mengambil pendekatan untuk bekerja sambil belajar di beberapa syarikat swasta. Alhamdulillah selepas beberapa tahun, saya dapat bina rangkaian dengan ramai jurugambar di Malaysia. Dari rangkaian tersebut saya peroleh ilmu sedikit demi sedikit.

Bidang/genre fotografi yang anda minat dan kenapa?

Wedding”, “Corporate” & “Street”. Fotografi perkahwinan diberi keutamaan kerana saya suka terjemahkan dunia khayalan saya kepada bentuk foto potret perkahwinan. Dan pasti setiap pengantin ada impian foto yang mereka inginkan, dan saya berbesar hati untuk membantu realisasikan impian mereka.

Ceritakan serba sedikit pencapaian anda dalam fotografi?

Beberapa foto pernah dipaparkan di blog dan portal fotografi. Antaranya foto pernah dipaparkan di Huffington Post dalam artikel “18 Intimate Glimpses at Weddings From Around the World”.

Minat yang mendalam dalam bidang mengajar, sedikit sebanyak diberi kepercayaan untuk berkongsi ilmu & pengalaman dalam bidang fotografi di beberapa badan kerajaan dan swasta. Antaranya UITM Dungun, MARA, UKM, Kolej Komuniti, Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Sembilan dan lain-lain.

Siapa dan apa yang memberikan inspirasi kepada anda dalam fotografi?

Saya suka melihat karya-karya fotografi jalanan, jurnal dan “fine art” sama ada daripada jurugambar tempatan mahupun luar negara. Dari sana saya banyak belajar dan cetuskan idea untuk projek-projek saya akan datang. Antara tempat yang banyak saya jadikan rujukan adalah Fearless Photographer, WPJA, Photographic Mercadillo (FB page) dan banyak lagi.

Apakah kamera yang anda gunakan sekarang?

Canon 5DM2 dan Canon 7D.

Apakah peralatan lain selain kamera yang anda gunakan?

Telefon pintar. Selain itu, saya banyak melatih diri dengan melihat. Saya akan cari apa yang menarik di setiap tempat yang saya kunjungi dari sisi sudut pandang seorang jurugambar.

Adakah fotografi memberikan satu sumber pendapatan yang baik untuk anda?

Sudah semestinya ya. Alhamdulillah kini perkhidmatan fotografi saya semakin diterima baik. Saya juga banyak bekerjasama dengan Project XCS Production dari segi fotografi korporat & latihan. Di samping itu saya juga ada buat jualan foto di internet.

Apakah nasihat anda kepada jurugambar yang ingin bermula?

Jika anda ada cita-cita besar dalam bidang ini, teruskan. Rancang dan laksanakan perancangan tersebut. Buat sampai jadi. Tiada perkara yang mustahil dalam dunia ini. Jangan sesekali cepat mengalah, jika ada yang mencemuh, jadikan cemuhan tersebut sebagai pembakar semangat untuk anda maju ke hadapan.

Nasihat utama saya adalah ilmu. Sejauh mana melangkah, pastikan jangan pernah “kenyang” dengan ilmu. Tuntutlah ilmu sampai bila-bila. Bergurulah dengan jurugambar-jurugambar hebat.

Apakah rancangan anda di masa akan datang?

Terus berkarya untuk berdiri sebaris dengan jurugambar-jurugambar hebat di Malaysia mahupun dunia. Sudah susun beberapa perancangan dan mohon doa kalian semoga apa yang dirancang dapat dicapai pada masa akan datang.Amin Allahumma Amin.

Foto Kredit : Rahim Isam