Bicara Alam begitu sinonim dengan Tuan Shamsul Kamal Haji Zakaria. Beliau yang merupakan seorang bekas tentera dan jurufoto untuk ‘Combat Photography & Perisikan’, di Kementerian Pertahanan suatu ketika dahulu dan kini merupakan salah seorang panel perunding untuk Sijil Kemahiran Malaysia /Diploma Kemahiran Malaysia melalui Pentauliahan Pencapaian Terdahulu (PPT).

Menurut beliau bicara itu sebagai suatu seni yang berbual-bual, sesuatu keadaan diri yang jahil, lemah, dan terlalu bersyukur atas nikmat yang tidak terkata apabila menghayati visual atau imejan yang terlalu indah, yang dikurniakan oleh Yang Maha Esa.  Manakala Alam pula membawa maksud, apa yang terdapat dilangit dan dibumi iaitu keindahan alam yang menjurus kepada pemandangan dikala terbitnya dan terbenamnya matahari.

Beliau amat mengagumi alam semesta ini, membuatkan foto Panorama begitu dekat dengannya dan sering menyifatkan Panorama itu sebagai suatu seni fotografi yang begitu menarik dan memberi kepuasan kepada dirinya selain mencabar diri berbicara separuh dunia dikala merakam foto.

Menurut Shamsul lagi, beliau memproses foto-foto panoramanya daripada imej yang terhasil dari tiga (3) hingga ke lima belas (15) keping foto yang diambil dan kemudiannya digabungkan atau ditindihkan menerusi ‘jahitan halus’ menggunakan Perisian Adobe Photoshop.

Antara pengalaman penuh bermakna baginya sepanjang berkarya dalam fotografi adalah apabila dikurniakan pingat Ahli Mangku Negara (AMW) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di Istana Negara atas pembabitan beliau dalam pengurusan fotografi Angkatan Senifoto Wilayah Persekutuan (ASFON WP) sebagai Presiden pada 2013.

Kami amat mengagumi karya-karya beliau dan menyifatkan panorama beliau setanding dengan  karya-karya luar negara. Semoga terus berkarya Tuan Shamsul.

Artikel oleh : Zanariah Salam