Selamat melangkah ke tahun 2018. Semoga tahun 2018 memberikan peluang rezeki yang melimpah ruah kepada semua pembaca Grxfia.

Setiap kali melangkah tahun baru, pastinya terfikir apa azam di tahun tersebut. Bagi yang masih amateur dalam bidang fotografi pastinya berazam untuk meningkatkan kemahiran fotografi anda. Tapi apa perlu anda buat untuk tingkatkan kemahiran anda?

Jom buat 5 cara ini untuk tingkatkan ilmu baru fotografi anda di tahun baru. Pastinya ianya berbaloi-baloi untuk dicuba.

Masuk kelas kemahiran fotografi

Ini cara paling terbaik nak menuntut ilmu iaitu berguru terus dengan mereka yang terbaik dalam industri. Pelbagai kelas fotografi diadakan dari asas hingga ke kemahiran aras tinggi anda boleh masuki.

Kelas apa patut saya masuk?
Cuba buat senarai kekuatan dan kelemahan anda dalam bidang fotografi. Lihat pada kemahiran yang kurang, carilah kelas yang boleh membantu anda. Jika tiada masa untuk menghadiri kelas secara fizikal, anda juga boleh belajar melalui kelas online seperti di laman creativelive.com, lynda.com atau di laman Youtube B&H dan sebagainya.

Banyakkan membaca tentang fotografi

Membaca jambatan ilmu. Pepatah ini cukup menerangkan dengan bacaan yang baik, dapat memberikan perspektif dan idea yang hebat kepada pembaca. Salah satu cara selain menghadiri kelas atau bengkel fotografi adalah dengan membaca buku atau web mengenai tips fotografi. Ianya amat membantu anda supaya tidak “stuck” atau kekeringan idea dalam merakam foto.

Keluar dan rakam foto setiap hari

Dalam fotografi, latihan merakam foto adalah tersangat penting. Nak jadi hebat dalam fotografi tapi malas nak rakam foto, baik lupa niat anda nak tingkatkan kemahiran dalam fotografi. Apabila anda selalu keluar merakam foto, banyak perkara boleh belajar dari kesilapan yang anda buat.

Saya tak tahu nak rakam apa?

Anda boleh cabar diri merakam foto dengan membuat pelbagai tema rakaman setiap hari atau setiap minggu. Contoh seperti membuat cabaran foto 365 hari atau 52 minggu. Cara sebegini sememangnya memberikan cabaran untuk sentiasa berfikiran kreatif dan membantu untuk tingkatkan kemahiran foto.

Untuk membuat latihan foto ini tidak semestinya anda perlu membawa kamera DSLR anda ke mana-mana sahaja. Gunakan telefon pintar anda juga untuk merakam buat latihan ini. Seterusnya anda muatnaik ke galeri foto seperti Instagram, Flickr atau Eyeem.

sumber Pinterest.com

Belajar kritik foto 

Setelah selesai anda rakam foto, cuba ambil masa lihat kembali koleksi foto-foto anda. Lihat kembali apakah kekurangan dalam foto tersebut, adakah komposisi foto tersebut baik, pencahayaan kepada subjek dan lain-lain. Dengan cara ini anda boleh baiki cara anda merakam foto seterusnya.

Anda juga boleh berkongsi sesi kritik foto bersama rakan-rakan atau menyertai ruangan komuniti foto. Jangan letakkan perisai di hadapan anda apabila seseorang memberikan pandangan membina terhadap foto. Sebaiknya terima dengan terbuka dan berfikiran positif.

Cari inspirasi foto 

Ada seorang sifu pernah berkata “Latih mata anda dengan melihat pelbagai foto cantik setiap malam sebelum tidur”. Teknik ini adalah salah satu latihan menajamkan visual penglihatan anda. Ini kerana apabila anda sering lihat foto yang cantik, pastinya anda juga akan terbayang untuk menghasilkan sekeping foto seperti itu.

Setiap hari anda cari inspirasi foto yang terbaik dan simpan. Dalam masa anda melihat foto tersebut, pastinya anda akan mengkaji apa yang membuatkan foto tersebut cantik. Antara tempat yang anda boleh cari inspirasi foto seperti di laman web 500px, National Geographic, Reuters, Wedding Photojournalist Association dan lain-lain mengikut genre yang anda minati.

5 cara ini, jika anda konsisten lakukan dalam masa setahun 2018, pada hujung tahun anda akan lihat perubahan yang besar dalam kemahiran fotografi. Tak percaya, cubalah buat dahulu ya.