Video “Let Go Nogori” memaparkan beberapa aktiviti menarik yang anda boleh lakukan di Negeri Sembilan untuk percutian hujung minggu. Info menarik video ini adalah ianya sepenuhnya dirakam oleh jurufoto wanita dan mereka adalah sebahagian daripada peserta program fotografi di bawah Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Sembilan.

Apa tempat dan aktiviti menarik tersebut?

Sarapan pagi di Kopitiam Ameng (00.08)

Anda teringin nak makan roti bakar yang dibakar dengan arang sambil menghirup kopi ‘o’ suam? Di Kopitiam Aming yang terletak di Kampung Parit, Kuala Pilah ini anda boleh merasai roti yang dibakar dengan arang tersebut. Memang menyelerakan kan apatah lagi dengan suasana kampung. Mana tahu tengah-tengah makan sekali sebelah meja dengan pelakon Sariyanti atau Dato’ Hattan yang juga berasal dari Kuala Pilah. Kopitiam ini memang terkenal di Kuala Pilah dan telah beroperasi sejak tahun 1947.

Makan Tengahari di Zaini Salai House (00.18)

Teringin nak makan itik salai atau daging salai masak lemak cili api? Jom singgah ke kedai Zaini Salai House yang terletak di Jalan Ulu Bendul, Kuala Pilah. Kalau rasa masih kenyang, boleh bungkus dan makan sambil beriadah di Hutan Lipur Ulu Bendul.

Riadah Air Di Hutan Lipur Ulu Bendul (00.34)

Tempat riadah yang percuma dan sesuai untuk semua golongan. Sambil-sambil mandi di air terjun, boleh berkelah makan nasi dengan ulam serta daging salai masak lemak cili padi tadi. Fuh, sungguh menyelerakan dengan suasana sejuk di dalam hutan. Sebelum balik, singgah dahulu ke Taman Ular di sini. Dengar cerita ada ular anaconda di situ.

Singgah ke Seri Menanti (00.27)

Anda juga boleh menyelusuri ke Seri Menanti dan melawat Istana Lama Seri Menanti. Namun pada waktu video tersebut dilakukan, istana tersebut masih tutup untuk proses renovasi. Anda boleh melihat, seni bina rumah lama juga di sepanjang jalan di Seri Menanti ini dan singgah sebentar di masjid yang cantik berdekatan dengan pintu gerbang masuk.

Juasseh Agro Park / NS Dairy Farm (01.09)

Nak rasa minum susu lembu segar sambil melihat pemandangan seperti di Kundasang atau New Zealand? Jom ke Juasseh Agro Park yang dimiliki oleh NS Dairy Farm. Di sini juga ada penginapan untuk bermalam dan juga tempat terbaik untuk melakukan program teambuilding sekolah ataupun organisasi. Untuk jurufoto, kalau nak merasa merakam matahari naik atau terbenam dengan keindahan ladang, kena lah menginap di sini.

Makan Cendol Santan Sawit (01.02)

Pertama kali ke Aya Cendol Sawit, inilah cendol paling lemak berkerim dan tidak manis. Sambil makan cendol, mata pun boleh memandang keindahan sawah padi di sekitar kedai tersebut. Di sini selain cendol, terdapat juga roti canai dan makanan bergoreng yang sungguh menyelerakan untuk makan bersama dengan cendol. Serius, rugi tak singgah kalau ke Kuala Pilah. Lokasi adalah di Jalan Terusan Juasseh, Kuala Pilah.

Ladang Alam Warisan (00.25)

Di Kuala Pilah juga, anda juga boleh singgah ke Ladang Alam Warisan. Anda boleh menginap dengan chalet suasana kampung lama dan melihat keunikan budaya Melayu tanpa pergi jauh pun. Pekerja-pekerja di sini memakai busana Melayu lama dan anda juga boleh belajar memanah atau menunggang kuda. Pelbagai aktiviti menarik tersedia di sini. Kalau tidak menginap, bayaran masuk adalah RM3/seorang dewasa dan RM2/seorang kanak-kanak sahaja.

Sate Tulang Sedap

Kalaun nak makan sate tulang atau sate ayam/daging yang lembut dan enak, boleh singgah di kedai makan Lapok Son berdekatan dengan masjid Kuala Pilah. Sate tersebut tiada dalam video kerana kedai tutup tetapi pemilik gerai sate ada memberikan mereka mencuba sate tersebut. Memang lembut daging sate tersebut dan rata-rata mengatakan suka makan sate di sini sejak kecil lagi. Rugi kalau anda ke Kuala Pilah tidak mencuba makan sate ini. Nama gerai tersebut Adnanzizah Satey.

Muzium Tentera Darat, Port Dickson (00.45)

Singgah pula ke Port Dickson, jangan lupa melawat muzium Tentera Darat ini. Muzium ini antara muzium terbaik di Malaysia yang memaparkan jalan cerita atau perjalanan ketenteraan Malaysia dari era Kesultanan Melayu Melaka, era Portugis dan Belanda, era Penjajahan British, era penubuhan Askar Melayu sehinggalah kepada era Tentera Darat Hari ini. Ianya percuma dan jangan lupa untuk melalui jalan tanah di muzium ini.

Makan Seafood di Restoran Seri Mesra (01.22)

Kalau datang Port Dickson, rugi tidak mencuba makan makanan laut di Restoran Seri Mesra ini. Anda boleh mencuba nasi lemak, ikan bakar yang mempunyai rempah cili tersendiri, udang dan sotong yang sungguh segar. Harga berpatutan dan amat berbaloi untuk dicuba seisi keluarga.

Supper Malam di Gerai Foodtruck Bangunan MARA (01.31)

Gerai foodtruck di Bangunan MARA, Seremban ini baru sahaja dibuka lebih sebulan. Pelbagai makanan tersedia di sini. Yang menarik halwa telinga anda juga turut disajikan dengan nyanyian oleh kumpulan Rock Busker. Abang busker tersebut, boleh menyanyi lagu Ziana Zain. Kalau tak pandang, pasti ingat perempuan yang nyanyi. Di sini anda boleh mencuba pizza homemade oleh gerai RR Delicious. Memang terbaik.

Menginap di hotel mewah Lexis Hibiscus (01.17)

Sekiranya ada bajet lebih, anda juga boleh menginap di hotel Lexis Hibiscus,Port Dickson yang menawarkan percutian mewah di hotel mereka ini. Hotel ini dilengkapi dengan sebuah kolam renang sendiri di dalam bilik yang pastinya memberikan keterujaan dalam percutian anda sekeluarga. Anda juga boleh menyewa helikopter di sini untuk bersiar di atas udara Port Dickson.

Apa tunggu lagi, bulan September ini banyak cuti di hujung minggu. Kalau tiada apa rancangan, anda boleh melawat ke Negeri Sembilan yang pastinya sungguh menarik dan melanconglah di dalam negeri.

 

*** Nota :(01.17) nombor di tajuk tersebut adalah minit durasi di dalam video